Azryl memberhentikan motor di tepi jalan. Ketika itu, hujan masih lebat. Kami sama-sama kebasahan. Aku kebingungan dengan tindakannya yang memberhentikan motor di tepi jalan. Motor rosakkah?
“Apa perhubungan kau dengan Jasley?” Soal Azryl.
Kelu lidahku untuk menjawab pertanyaannya yang tidak diduga.
“Kawan atau lebih dari itu?”
“Kawan.” Balasku.
Azryl yang tadinya berwajah serius, kembali tersenyum. Aku kehairanan. Wajahnya bertambah kacak apabila mengukir senyum. Rambutnya lurus dibasahi hujan. Dia menyeka rambutnya ke belakang.
“Sudikah kau menjadi kekasihku?”
Aku tercengang! Azryl sudah buang tabiatkah?
“Sudikah kau menjadi kekasihku?” Soalnya lagi.
Lidahku kelu. Ingin aku berkata ‘ya’ tetapi lidahku kelu.
“Aku tanya sekali lagi, sudikah kau menjadi kekasihku, wahai Lia Artika?” Dia meninggikan suara.
Aku mengangguk. Memang inilah yang aku impikan selama ini; menjadi kekasih hati Azryl Khalish.
“Aku mahu mendengar pengakuan dari kau.” Dia merenung wajahku.
Aku mengumpul kekuatan. “A…aku sudi menjadi kekasih kau.” Huh, lega hatiku setelah aku berjaya mengucapkan kata keramat itu!
Azryl tergelak. Aku kebingungan. Sekejap serius, sekejap ceria. Adakah dia mahu mempermainkan perasaanku?
“Tapi ada syaratnya!”
“Syarat?”
“Pertama, aku tak mahu kau keluar bersama Jasley lagi. Kedua, aku yang akan menjemput kau pergi dan balik dari kelas. Setuju?”
